ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 1

Apabila kita menziarahi Kota Madinah Al Munawwarah, ianya tidak lengkap jika kita tidak menziarahi dan beribadah di Masjidil Nabawi, serta mengunjungi Maqam Baginda Nabi S.A.W. Hukum menziarahi Maqam Nabi S.A.W ini adalah sunat. Kenapa kita perlu mengunjungi Masjidil Nabawi?

Masjidil Nabawi adalah merupakan masjid kedua yang dibina oleh Baginda Rasulullah S.A.W  pada permulaan Hijrah Baginda S.A.W ke Madinah, iaitu selepas Masjid Quba' (juga di Madinah, jaraknya < 3km dari Masjidil Nabawi.). Di Masjidil Nabawi ini jugalah terdapat maqam Baginda Nabi S.A.W. Oleh itu, menziarahi Masjidil Nabawi bermakna kita juga menziarahi Nabi S.A.W. Tambahan pula, Nabi S.A.W bersabda "Solat di Masjidku (Masjidil Nabawi) ini adalah lebih utama (afdal) 1,000 kali daripada solat di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram". [Hadis Riwayat Bukhari; Sahih Bukhari no. 1190]. Selain itu, di Masjidil Nabawi terdapat satu tempat yang dinamakan 'Raudhah', iaitu salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Apakah Raudhah ini benar-benar istimewa?

Rasulullah S.A.W bersabda "Antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah dari taman-taman
(Imej Raudhah yg. menunjukkan
Mehrab & Mimbar Nabi S.A.W)
Syurga. Dan mimbarku di atas kolam
." (Hadis dari Abu Hurairah r.a, Sahih Bukhari no. 1888). Menurut sebahagian Ulamak Salaf, Raudhah itu menyerupai sebuah taman dari taman-taman Syurga. Terdapat juga pendapat yang lain yang menyakini bahawa Raudhah tersebut (yakni Raudhah di Masjidil Nabawi), di Akhirat nanti sememangnya akan dipindahkan ke Syurga. Ada juga Ulamak yang berpendapat bahawa Raudhah ini adalah seumpama taman dari taman-taman Syurga dari segi aspek turunnya Rahmat Allah S.W.T dan tercapainya kebahagiaan. (Rujukan Akhbar Madinah al-Rasul li Ibn al Najjar - Buku Sejarah Madinah Karangan Dr Muhammad Ilyas Abdul Ghani).

(Pelan Lakar Raudhah & Maqam Nabi S.A.W oleh Penulis)
Kawasan Raudhah ini sebenarnya ialah Masjid Asal Masjidil Nabawi yang dibina oleh Baginda Nabi S.A.W pada tahun 622 Masihi. Panjangnya ialah 26 meter jika diukur dari Timur, bermula dari Rumah Baginda Nabi S.A.W (iaitu Maqam Nabi S.A.W sekarang ini) hingga ke mimbar di sebelah Baratnya. Tetapi sekarang hanya tinggal 22 meter kerana telah disekat dengan pagar Maqam Baginda S.A.W & 2 sahabat Baginda. Lebarnya pula adalah 15 meter bermula dari Mehrab Rasulullah S.A.W di sebelah Selatan hingga ke akhir rumah Baginda S.A.W di sebelah Utara mengikut pendapat yang masyhur di kalangan Ulamak. Sebagai tanda, kawasan Raudhah ini dihampari dengan karpet berwarna hijau bercorak putih, sedangkan kawasan lain di Masjidil Nabawi berhamparan warna merah bercorak putih. (Rujukan Buku Madinah Munawwarah Kelebihan & Sejarah Karangan Ustaz Dr Abdul Basit Abd Rahman).

Dari Pelan Lakar yang dikongsikan di atas, apabila tiba waktu ziarah, Raudhah akan dibahagikan kepada dua (2) bahagian yang berasingan; satu (1) untuk jemaah lelaki & satu (1) lagi untuk jemaah wanita (nota: Garis putus-putus berwarna merah adalah garisan pemisah untuk jemaah lelaki & wanita). Namun begitu, waktu melawat atau ziarah Raudhah bagi jemaah wanita adalah terhad iaitu bermula selepas solat Suboh, sekitar jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam, dan akan diberhentikan setiap kali waktu solat Fardhu dan solat Jumaat [Nota : Bagi Jemaah Wanita, ziarah Raudhah akan diberhentikan seketika, iaitu sebelum, semasa dan selepas setiap waktu Solat Fardhu iaitu Zohor, Asar, Maghrib & Isyak. Ianya akan dibuka semula selepas selesai solat fardhu tersebut kecuali solat fardhu maghrib.].

Berdasarkan Pelan Lakar di atas, terdapat dua (2) mehrab (tempat Imam Solat) iaitu Mehrab Nabi S.A.W dan Mehrab yang digunakan sekarang yang juga dikenali sebagai Mehrab Saidina Usman r.a. atau Utsmani. Mehrab Nabi S.A.W ialah tempat di mana Nabi S.A.W bersolat apabila Baginda S.A.W mengimami atau mengetuai solat fardhu bersama para-para sahabat Baginda S.A.W. Mehrab Nabi ini berada di kawasan Raudhah. Apabila Saidina Usman r.a. membesarkan Masjidil Nabawi ke bahagian Utara, Selatan, dan Barat sebanyak 5 meter setiap arah di zaman pemerintahannya, Saidina Usman r.a. juga membuat satu lagi mehrab solat untuk Imam yang masih terus digunakan hingga ke hari ini. Mehrab Utsmani ini berada di luar kawasan Raudhah iaitu di bahagian hadapan kawasan yang berhampiran dengan Maqam Nabi S.A.W. (Sila lihat gambar mehrab di bawah).

                                   [Tiga (3) Mehrab di Masjdil Nabawi (Kiri ke Kanan) iaitu Mehrab Nabi S.A.W,                                      Mehrab Saidina Usman r.a, & Mehrab Sulaiman]
Di Masjidil Nabawi terdapat satu (1) lagi mehrab yang dikenali sebagai Mehrab Sulaiman. Ianya di bina dalam tahun 938H oleh Sultan Salim dari Turki. Ianya juga dipanggil sebagai Mehrab Hanafi kerana mengikut sejarah, mehrab ini digunakan oleh Imam Mazhab Hanafi apabila mereka mengetuai solat jemaah di Masjidil Nabawi. [Nota : Satu ketika dahulu, setiap jemaah Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang empat (4) bersolat secara berasingan dengan mengikut solat yang diimamkan oleh Imam-imam Mazhab masing-masing di Masjidil Nabawi dan juga Masjidil Haram.]

Allahu 'alam.

Nota Tambahan : Apabila menziarahi Masjidil Nabawi, jemaah lelaki dapat melihat sebahagian besar infrastruktur yang diceritakan di sini, contohnya ketiga-tiga mehrab, mimbar Nabi S.A.W, dan bahagian hadapan serta tepi Maqam Nabi S.A.W (dari luar). Jika menziarahi selepas jam 12 tengah malam hingga ke Fajar, jemaah lelaki berkemungkinan dapat beriktikaf di bahagian belakang Maqam Nabi S.A.W dan Mehrab Tahajjud. Sementara jemaah wanita pula hanya dapat melihat sebahagian kecil kawasan Raudhah, tempat Muazzin (juru azan), dan bahagian belakang serta sedikit bahagian tepi Maqam Nabi S.A.W. Namun jemaah wanita adakalanya dapat melihat kawasan Maqam Nabi S.A.W sepenuhnya apabila pagar belakang Maqam Baginda Nabi dibuka ketika urusan pembersihan & baik-pulih dilakukan.

......Bersambung ke Raudhah PART 2. Insya Allah.

Comments

Popular posts from this blog

ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 2

ISU SEMASA : BERKAITAN MIQAT DAN SOLAT FARDHU SELEPAS TAWAF WADA'