ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 2

[Kubah Hijau Masjidil Nabawi di mana di bawahnya terdapat
Maqam Nabi S.A.W & 2 Sahabat Baginda iaitu Saidina Abu
Bakar As Siddiq r.a dan Saidina Umar Al Khatab r.a]
Di Bahagian 1 Blog ini, diterangkan mengenai Masjidil Nabawi dan Raudhah (Taman-taman Syurga). Bahagian kedua ini adalah sambungan penulisan tersebut.

PERLUASAN MASJIDIL NABAWI

Masjidil Nabawi telah diperluaskan beberapa kali [nota: Sembilan (9) kali mengikut Dr Muhammad Ilyas Abdul Ghani di dalam Bukunya Sejarah Bergambar Madinah Munawwarah] termasuk tiga (3) kali semasa di Zaman Nabi S.A.W dan Khulafa' Ar Rashidin. Mengikut Sejarah, Baginda Nabi S.A.W pernah membesarkan Masjidil Nabawi hanya sekali iaitu pada tahun 7H (Hijrah), kemudiannya diperluaskan lagi oleh dua (2) Khulafa' Ar Rashidin sebanyak dua (2) kali, iaitu sekali oleh Saidina Umar Al Khatab r.a pada tahun ke 17H, dan sekali juga oleh Saidina Usman Ibnu Affan r.a pada tahun 29H.

Walaupun Masjidil Nabawi diperluaskan, saiz Raudhah masih lagi kekal sama dengan yang asal seperti yang tertera di Blog ini - Part 1 iaitu 22 meter x 15 meter. Semasa di Zaman Nabi S.A.W dan kedua-dua Khulafa' Ar Rashidin tersebut, Masjidil Nabawi tidak mempunyai sebarang menara atau minaret. Empat (4) buah Menara pertama Masjidil Nabawi hanya mula di bina oleh Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz pada tahun 93H. Sekarang ini terdapat sepuluh (10) buah menara atau minaret di Masjidil Nabawi. Sehingga kini, Masjidil Nabawi dianggarkan dapat menampung kapasiti jemaah seramai 600,000 hingga 1 juta orang. 

SEJARAH MIMBAR NABI S.A.W & KEUTAMAANNYA

(Tiang Mukhallaqah ditandakan dengan
lakaran warna merah)
Mimbar Nabi S.A.W yang asal hanyalah sebatang pohon kurma yang dijadikan tempat Baginda Nabi S.A.W bersandar ketika berkhutbah, seperti yang diterangkan oleh Ibnu Buraidah, dalam Kitab Al Wafa Bi Ahwal Al Musthafa. Ramai antara kita yang pernah mendengar cerita tentang tangisan pohon kurma semasa Nabi S.A.W menuju ke Mimbar Nabi S.A.W yang baharu untuk berkhutbah. Kisah ini adalah kisah yang benar yang banyak diriwayatkan; antaranya riwayat dari Jabir r.a yang disahihkan oleh Imam Bukhari r.h, riwayat Ubay Bin Ka'ab r.a dan riwayat Imam Hassan Al Basri r.h seperti yang dinyatakan dalam Kitab Syarh Al Syifa' Li Al-Qari. Mengikut Sahih Bukhari, tangisan atau rintihan pohon kurma itu seperti seekor unta yang hamil sepuluh (10) bulan. Sekarang ini, tempat asal pohon kurma tersebut dikenali sebagai Tiang Mukhallaqah.

Mimbar Nabi S.A.W yang baharu iaitu mimbar yang menggantikan pohon kurma tersebut terletak di kedudukan Mimbar yang ada sekarang ini di Masjidil Nabawi. Mimbar ini (mimbar yang baharu) diperbuat dari kayu dan mempunyai ketinggian setinggi tiga (3) tingkat. Ianya mula digunakan oleh Baginda Nabi S.A.W pada tahun 8H iaitu setelah selesai pembesaran Masjidil Nabawi. Mimbar Kayu 3-Tingkat ini terus digunakan semasa pemerintahan Khulafa' Ar Rashidin.     

Ketika pemerintahan Saidina Mu'awiyah r.a, sahabat Nabi S.A.W ini meninggikan Mimbar Kayu 3-Tingkat itu hingga menjadi sembilan (9) tingkat, di mana Mimbar Kayu 3-Tingkat itu di letakkan di bahagian atas sekali di Mimbar Baru binaan Saidina Mu'awiyah r.a. Mengikut sejarah, demi menghormati Baginda Nabi S.A.W dan juga Khulafa' Ar Rashidin, Saidina Mu'awiyah r.a hanya menggunakan mimbar baru ini dengan berdiri di tingkat yang ke-7 semasa berkhutbah dan duduk antara dua (2) khutbah. Ketika duduk antara 2-khutbah, kaki Saidina Mu'awiyah r.a akan diletakkan di tingkat yang ke-6. Kebiasaan ini diteruskan oleh Khalifah-khalifah dan Imam-imam seterusnya sehingga tahun 654H atau 1256M apabila berlakunya kebakaran di Masjidil Nabawi.

Sejak tahun 654H tersebut sehinggalah tahun 998H, Mimbar Masjidil Nabawi terus dibina dan diper-
(Mimbar Masjidil Nabawi sekarang
 di tempat asal Mimbar Nabi S.A.W)
baharui oleh beberapa sultan atau pembesar seperti Al Muzhoffar (Pembesar Yaman, Az-Zhohir Bibri, Al-Muayyad dan lain-lain. Mengikut sejarah, Sultan Murad ke-3 membina mimbar yang sedia-ada ini dengan ketinggian dua belas (12) tingkat, iaitu tiga (3) tingkat di luar pintu mimbar dan sembilan (9) tingkat lagi berada di dalamnya. Mimbar ini kemudiannya diubah-suai dan dicantikkan dengan disaluti saduran emas oleh Pemerintah Arab Saudi dari Keluarga As-Saud.

Mimbar Nabi S.A.W mempunyai beberapa keutamaan seperti yang dinyatakan dalam beberapa Hadis Baginda S.A.W. Antaranya adalah hadis dari Abu Hurairah r.a iaitu Rasulullah S.A.W bersabda "Antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah dari taman-taman  Syurga. Dan mimbarku di atas kolam." (Sahih Bukhari no. 1888).

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad r.h, dari Sahl Ibnu Sa'ad, Nabi S.A.W bersabda "Mimbarku adalah pintu atau tir'ah dari pintu-pintu Syurga".

Walaupun Mimbar Nabi S.A.W terdapat keutamaannya seperti yang dinayatakan di atas, namun apabila kita menziarahi Masjidil Nabawi terutamanya Raudhah, janganlah kita melakukan perkara-perkara bida'ah seperti mengusap Mimbar tersebut dengan tangan ataupun kain serban dsbnya. Sebaliknya, cukuplah sekadar kita melakukan solat sunat (dengan syarat dalam waktu yang dibenarkan dan bukannya waktu haram) disebelahnya ataupun di hadapan tangga 3-tingkat tersebut.

MEHRAB TAHAJUD BAGINDA NABI S.A.W 

(Mehrab Tahajud Baginda Nabi S.A.W di Masjidil Nabawi)
Mehrab Tahajud pula berada di kawasan belakang Maqam Nabi S.A.W, dan berdekatan dengan Pintu atau Babbul Fatimah. Di sinilah diriwayatkan sebagai tempat Baginda Nabi S.A.W melakukan solat-solat malam Baginda terutamanya Tahajud.

Ramai jemaah yang terkeliru di antara Mehrab Tahajud dengan Mehrab Ahlus Suffah iaitu tempat berteduh sahabat-sahabat miskin  Baginda Nabi S.A.W. Di Mehrab inilah para-para sahabat tersebut tinggal dan juga belajar tentang agama islam. Antara para-para sahabat r.anhum yang duduk di Mehrab Ahlus Suffah ialah Saidina Abu Hurairah r.a. Sekarang, Mehrab Ahlus Suffah ini sudah tiada lagi di Masjidil Nabawi. (Nota : Perlu diingatkan bahawa Mehrab Tahajud ini berada di luar kawasan Raudhah, dan ianya bukanlah Mehrab Ahlus Suffah. Mehrab Ahlus Suffah sudah tidak ada lagi di Masjidil Nabawi.)


Allahu 'alam.

Nota Tambahan : Apabila menziarahi Masjidil Nabawi, jemaah lelaki dapat melihat sebahagian besar infrastruktur yang diceritakan di atas, contohnya Mimbar Nabi S.A.W, dan Tiang Mukhallaqah. Jika mereka menziarahi selepas jam 12 tengah malam hingga ke Fajar, jemaah lelaki berkemungkinan dapat beriktikaf di bahagian belakang Maqam Nabi S.A.W dan bersolat di Mehrab Tahajud. Sementara jemaah wanita hanya dapat melihat Mehrab Tahajud dan kemungkinan besar bersolat di Mehrab tersebut apabila mereka menziarahi Raudhah pada waktu-waktu ziarah bagi Jemaah Wanita..

......Bersambung ke Raudhah PART 3. Insya Allah.


Comments

Popular posts from this blog

ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 1

ISU SEMASA : BERKAITAN MIQAT DAN SOLAT FARDHU SELEPAS TAWAF WADA'