ISU SEMASA : KERJA BAIK-PULIH TELAGA ZAM-ZAM DI MASJIDIL HARAM UNTUK TAHUN 1439H

(Dataran Kaa'bah Asal yg. dipenuhi dengan
mereka yg. bertawaf) 

Masjidil Haram @ lebih dikenali sebagai Baitullah adalah Masjid yang paling sibuk sekali di dunia. Setiap detik, ada sahaja Hamba Allah yang beribadah di situ, samada dengan mengerjakan solat, tawaf, membaca alquran, berzikir, menghadiri majlis ilmu dll.

Dataran Kaa'bah di Masjidil Haram pula akan sentiasa dibanjiri dengan hamba-hamba Allah yang bertawaf, bersolat dan melakukan pelbagai ibadah sunat yang lain seperti berdoa di Multazam dan mencium Hajaral Aswad. Amalan-amalan ini termasuk bertawaf, hanya akan dihentikan seketika apabila Solat Fardhu 5 waktu ditunaikan. Apabila selesai solat fardhu, maka Dataran Kaa'bah akan dipenuhi semula dengan orang ramai yang melakukan tawaf samada Tawaf Rukun @ Ifadah (Tawaf Umrah), Tawaf Sunat, Tawaf Nazar dll. Ini berlaku tanpa henti setiap hari.

(Dataran Kaa'bah yg digunakan untuk bertawaf dikecilkan
sehingga Ramadhan 1439H)
PENAMBAH-BAIKAN TELAGA ZAM-ZAM & SALURAN PAIPNYA.
Bermula pada 1 Safar 1439H, Kerajaan Arab Saudi telah memulakan kerja-kerja penambah-baikan Telaga Zam-zam dan saluran paipnya di Masjidil Haram. Ini menyebabkan Dataran Kaa'bah yang digunakan untuk Tawaf terpaksa dikecilkan (sila rujuk gambar Dataran Kaa'bah di sebelah kiri). Mengikut kenyataan Kerajaan Arab Saudi, kerja-kerja ini dijangka siap insya Allah sebelum Ramadhan 1439H.

Oleh yang demikian, ada-kalanya hanya mereka yang melakukan Tawaf Umrah sahaja yang dibenarkan menggunakan Kawasan Tawaf Di Dataran Kaa'bah yang telah dikecilkan itu. Malah, jemaah Umrah yang menggunakan kerusi roda juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tawaf ini dan diarahkan bertawaf di tingkat atas (samada Tingkat 1 @ 2) di Masjidil Haram. Mereka yang melakukan Tawaf Sunat & Tawaf Wada' pula diarahkan melakukannya di tingkat atas, sekurang-kurangnya di Tingkat 1 Masjidil Haram.

(Gambarajah Dataran Kaa'bah dgn. Petunjuknya
Sehingga Ramadhan 1439H)
MELAKUKAN TAWAF RUKUN/IFADAH DI DATARAN KAA'BAH:
Mengikut informasi yang kami dapati, disediakan dua (2) laluan untuk masuk ke dan keluar dari Dataran Kaa'bah jika melakukan Tawaf Umrah seperti yang ditunjukkan di gambarajah di sebelah kanan. Laluan masuknya adalah dari arah Rukun Yamani, sementara laluan keluar berada di arah Rukun Iraqi.

Untuk memasuki ke Dataran Kaa'bah @ Mataf, jemaah umrah difahamkan perlu memasukinya dengan beratur di Pintu 79 (Pintu King Abdul Aziz).

Seperti yang ditunjukkan di gambarajah tersebut, jemaah bolehlah melakukan solat sunat tawaf di kawasan yang disediakan iaitu kawasan di belakang Hijir Ismail dan berhampiran laluan keluar dari Dataran Tawaf Kaa'bah (sila rujuk kawasan yang ditandakan di gambarajah). Memandangkan kawasan Tawaf di Dataran Kaa'bah telah dikecilkan dan kawasan kerja-kerja baik-pulih tersebut melibatkan kawasan di belakang Maqam Ibrahim, jemaah tidaklah dapat melakukan solat sunat tawaf mengikut Sunnah Baginda Rasulullah s.a.w iaitu di belakang Maqam Ibrahim buat sementara waktu (sehinggalah kerja-kerja baik-pulih ini selesai). Sekiranya kawasan solat sunat tawaf yang disediakan (di belakang Hijir Ismail seperti yang ditunjukkan) itu penuh, jemaah bolehlah melakukan solat sunat tawaf di mana-mana kawasan yang sesuai di dalam Masjidil Haram.

PERINGATAN : Memandangkan Kawasan Tawaf di Dataran Kaa'bah hanya diberi keutamaan untuk jemaah yang melakukan umrah, Jemaah Umrah perlulah mengambil kesempatan ini untuk berdoa di Multazam dan juga bersolat serta berdoa di Hijir Ismail apabila telah selesai menyempurnakan Tawaf Umrahnya. Tetapi jemaah umrah janganlah memegang kiswah/kain/kelambu Kaa'bah ataupun mencium Hajaral Aswad kerana kedua-duanya dilumurkan dengan wang-wangian.


Comments

Popular posts from this blog

ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 1

ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 2

ISU SEMASA : BERKAITAN MIQAT DAN SOLAT FARDHU SELEPAS TAWAF WADA'