UMRAH - BAGAIMANA MEMILIH AGENSI UMRAH?

(Harga? Agensi Boleh Dipercayai? Jarak Hotel? DLL?)
Apabila kita mula terpanggil untuk mengerjakan Umrah atau menjadi Tetamu Allah (DuyufurRahman), ramai antara kita mulalah berada dalam 'dilema' untuk memilih Travel Agensi Umrah yang sesuai. Soalan-soalan seperti Bolehkah Agensi itu dipercayai ("Sekuriti")?, Berapa Harga Pakejnya?, Jarak Hotel dari Masjidil Haram?, dan pelbagai soalan lain mulalah bermain di benak kepala kita.

Dengan adanya Lesen Khas Umrah (LKU) yang diperkenalkan oleh Kementerian Perlancongan & Kebudayaan Malaysia (KPK) baru-baru ini (mulai 1 Oktober 2017), persoalan tentang sekuriti ataupun 'Bolehkah Travel Agensi itu dipercayai?' bukanlah lagi satu soalan utama dalam pemilihan Travel Agensi Umrah. Ini bermakna bakal-bakal jemaah umrah @ DuyufurRahman hanya perlu memastikan bahawa Travel Agensi yang dipilih mempunyai LKU tersebut. Sehingga artikel blog ini ditulis, KPK telah mengeluarkan LKU untuk sejumlah 106 (Seratus Enam) Travel Agensi. Antaranya adalah Al Fajr Travel, Andalusia Travel, Gemilang Travel, MAAD Travel, Rakyat Travel, Rayhar Travel, TH Travel, Wira Saujana & YHA Travel. (Nota : Sila rujuk Update Terakhir KPK ialah bertarikh 11 Okt 2017 bagi Senarai 106 Agensi tersebut. KPK sedang memproses banyak lagi permohonan dari Travel Agensi seperti Felda Travel, GOTZ Travel, Tiram Travel dll.). Oleh itu, apakah kriteria memilih Travel Agensi Umrah yang bersesuaian?

Bila Soalan tentang kriteria tersebut diajukan kepada saya, saya menyenaraikan 3 (Tiga) aspek ini sebagai Kriteria Pemilihan Tersebut (mengikut susunan keutamaan), iaitu:-
  1. Servis @ Perkhidmatan Bimbingan & Pengisian Ibadah. Tujuan kita pergi ke Haramain adalah untuk beribadah kepada Allah dan mendapat maghfirah (keampunan) Allah S.W.T. Oleh yang demikian, ILMU adalah perkara pokok yang utama yang mesti dimiliki oleh setiap DuyufurRahman, agar mereka dapat melaksanakan ibadah-ibadah terutamanya Umrah dengan sempurna (memenuhi syarat-syaratnya). Bimbingan dalam melaksanakan ibadah Umrah ini amat penting sekali terutamanya bagi mereka yang pertama kali datang ke Haramain. Selain itu, bimbingan @ panduan 'NEXT STEP' untuk memelihara atau mengekalkan kemabruran Umrah juga penting untuk digunakan ketika pulang ke Tanahair.
  2. Jarak Hotel terutamanya dari Masjidil Haram. Dengan tujuan untuk beribadah, bakal-bakal jemaah perlulah memikirkan jarak hotel dari Masjidil Haram di Mekah. Tambahan pula, cuaca panas juga boleh menyebabkan jemaah tidak selesa untuk berjalan jauh dari hotel penginapan ke Masjidil Haram. Bagi jemaah OKU, berpenyakit dan jemaah wanita yang berumur pula (disebabkan masalah terkencing bila batuk @ bersin), kedudukan jarak hotel ini penting bagi mereka terutama apabila perlu menyucikan diri dan pakaian. Bergantung kepada kedudukan hotel di Mekah, jemaah secara purata berjalan antara 3-10 KM (kilometer) sehari jika melakukan solat jemaah 5 waktu berjemaah di Masjidil Haram dan sekali Umrah. (Nota : Hotel Di Madinah selalunya sekitar Masjidil Nabawi. Secara purata sekitar 100-250 meter.).
  3. Budget @ Harga Pakej. Harga Pakej Umrah selalunya bergantung kepada Jarak Hotel [Item (2) di atas], Taraf Bintang Hotel Penginapan, Jumlah Hari Pakej, dan jenis penerbangan ['Direct vs Transit', Sykt Airline, Mendarat & Berlepas dari Airport yang sama di Saudi.]. Alhamdulillah, Perkhidmatan Bimbingan Ibadah sekarang ini bukanlah satu faktor penentuan untuk Harga Pakej. Sebagai 'guidance', Harga Pakej Umrah untuk 12Hari 10Malam yang jarak hotelnya antara 200-350 meter dari Masjidil Haram adalah antara RM 5,500 - RM 6,500 seorang (ketika 'non-peak period').
Walaupun saya meletakkan Perkhidmatan Bimbingan & Pengisian Ibadah sebagai kriteria pertama dan paling penting, namun apa yang saya perhatikan ialah ianya semakin kurang diberi keutamaan kebelakangan ini. Majoriti Agensi-agensi Umrah dewasa ini ada menyediakan perkhidmatan bimbingan ini hanya sebagai 'reference point' @ sekadar tempat rujukan terutamnaya apabila di Haramain, tetapi bukannya pro-aktif memberi perkhidmatan tersebut kecuali Umrah yang pertama. Atau dalam erti kata lain, ianya sekadar menjadi perkhidmatan berkonsepkan "tunggu & lihat" atau reaktif. Maksudnya perkhidmatan ini lebih bergantung kepada sikap pro-aktif jemaah untuk tidak segan-silu menanyakan hal-ehwal ibadah dengan pembimbing yang disediakan. Dan....yang amat menyedihkan kebelakangan ini.....ialah arah-tuju kebanyakan agensi-agensi Umrah yang menjadikan umrah sebagai usaha komersial......seolah-olah Umrah ini hanyalah satu percutian yang sama tarafnya dengan percutian-percutian 'non-ibadah' (bukan berbentuk ibadah) yang lain.

Namun ada beberapa Ustaz pembimbing Ibadah Umrah yang saya kenali yang benar-benar membimbing jemaah samada sebelum dan semasa di Haramain, serta dalam perjalanan pulang ke Tanahair. Antaranya Almarhum Ustaz Haji Qamaruddin Khidir Abdullah (GOTZ Travel), Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar (Pakejnya sendiri), dan Ustaz Badila Mohamad (Pembimbing di Haramain).  

Akhir kata, nasihat saya kepada bakal-bakal jemaah Umrah, carilah Agensi Umrah yang benar-benar dapat membantu kita menunaikan Ibadah Umrah dengan sempurna, dan yang menekankan betapa pentingnya ilmu serta perkongsiannya bagi melaksanakan sesuatu ibadah dengan sempurna.  

Allahu 'alam. 

Nota : Status Terkini pada 15 Nov 2017 mengenai Lesen Khas Umrah (LKU). Terdapat 184 buah Agensi Perlancongan yang telah diberi LKU oleh Kementerian Perlancongan & Kebudayaan Malaysia (KPPK). Agensi-agensi seperti GOTZ Travel (LKU : KPK 0111), Tiram Travel (LKU : KPK 0109) yang dijadikan contoh di perenggan dua (2) di atas sebagai yang belum mendapat LKU pada 26 Oktober 2017, telahpun mendapat LKU mereka dari KPPK. Sila semak mengenai LKU ini di laman web KPPK @ MOTAC. (www.motac.gov.my).







Comments

Popular posts from this blog

ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 1

ZIARAH DALAM MASJIDIL NABAWI - RAUDHAH PART 2

ISU SEMASA : BERKAITAN MIQAT DAN SOLAT FARDHU SELEPAS TAWAF WADA'